Sunday, 14 February 2016

Kisah dari Surah Yasin


Di dalam Surah Yasin terdapat kisah yang menyentuh hati. Sekitar tahun lepas 2015, aku terjumpa sebuah catatan tentang karakter utama kisah ini iaitu blog tahajjud.net. Berikut ialah kisah tersebut yang aku salin sepenuhnya daripada catatan tersebut yang aku kira berharga kerana blog ini telah tidak wujud.

KISAH HABIB AN-NAJJAR

April 3, 2014
tahajjud.net Kisah Teladan

Kehidupan adalah nikmat terbesar yang Allah berikan kepada kita, tetapi kita tidak menyedarinya. Mungkin setelah mati, baru kita akan menyedari bahawa kehidupan sangatlah bermakna. Seandainya orang-orang yang telah meninggal boleh memberi maklumat kepada kita tentang apa yang mereka alami di akhirat sana, tentu mereka akan berpesan agar kita mengikuti apa yang telah disampaikan oleh para nabi dan Rasul Allah.

Allah s.w.t menyebutkan kisah seorang hamba yang telah meninggal dunia dan berharap kaumnya dapat mengetahui keampunan dan kemuliaan yang dia dapatkan setelah mati, kerana dia mengikuti apa yang disampaikan oleh para utusan Allah itu.

Kisah ini terdapat di dalam surah Yasin. Allah s.w.t mengutuskan dua orang rasul kepada suatu kaum, tetapi kedua rasul itu didustakan. Lalu Allah s.w.t menguatkan kedua rasul itu dengan rasul ketiga yang mengatakan kepada mereka, “Sesungguhnya kami adalah utusan Allah yang diutus kepada kamu.”

Kaum mereka lalu berkata,”Kamu hanyalah manusia biasa seperti kami, Allah yang Maha Pemurah tidak menurunkan apa pun, dan kamu hanyalah berdusta.”

Ketiga orang rasul itu kemudian berkata lagi, “Tuhan kami mengetahui bahawa kami benar-benar rasul yang diutus kepada kamu. Kewajipan kami hanyalah menyampaikan perintah Allah yang sudah jelas bagi kamu.”

Jawapan itu tidak membuat kaum itu beriman. Mereka lalu mengancam ketiga orang rasul,”Nasib malang yang menimpa kami ini tidak lain adalah kerana kewujudan kamu dan akibat perbuatan kamu. Jika kamu tidak berhenti menyeru kami kepada apa yang kamu katakan itu, kami benar-benar akan merejam kamu dan kami akan menyeksa kamu dengan seksaan yang pedih.”

Menghadapi ancaman itu, ketiga rasul itu menjawab,”Nasib malang yang kamu alami adalah hasil perbuatan kamu sendiri. Apakah kerana ajakan kami itu, lalu kamu ingin mengancam kami? Kamu benar-benar telah melampaui batas.”

Pada waktu itu, tiba-tiba datang seorang lelaki dari arah hujung kota tempat kaum itu berada. Beberapa mufassir mengatakan, lelaki itu bernama Habib bin al-Marwi, sedangkan dalam terjemahan al-Quran Jabatan Agama diberi keterangan bahawa orang itu bernama Habib an-Najjar. Dia berkata kepada kaumnya seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t dalam al-Quran,”Hai kaumku, ikutilah utusan-utusan itu. Ikutilah orang yang tiada meminta upah kepadamu; dan mereka adalah orang-orang yang mendapat petunjuk. Mengapa aku tidak menyembah (Tuhan) yang telah menciptakanku dan yang hanya kepada-Nyalah kamu (semua) akan dikembalikan? Mengapa aku akan menyembah tuhan-tuhan selain –Nya, jika (Allah) Yang Maha Pemurah menghendaki kemudaratan terhadapku, niscaya syafaat mereka tidak memberi manfaat sedikit pun bagi diriku dan mereka tidak (pula) dapat menyelamatkanku. Jika demikian, sesungguhnya aku pasti berada dalam kesesatan yang nyata. Sesungguhnya aku telah beriman kepada Tuhanmu; maka dengarkanlah (pengakuan keimanan) ku,”(Surah Yasin [36]: Ayat 20-25).

Ketika menghadapi penentangan kaumnya, ketiga rasul itu dibela oleh lelaki yang telah beriman ini (Habib an-Najjar). Dia cuba mengingatkan kaumnya agar mereka mentaati apa yang dikatakan oleh ketiga orang rasul itu. Akan tetapi, pembelaanya tidak berkesan bagi dirinya. Dia dibunuh kerana telah menyatakan pembelaannya terhadap ketiga rasul itu.

Kemudain Allah s.w.t mengutus malaikat untuk menjemput arwah Habib an-Najjar, dan memberitahu bahawa dosa-dosanya telah diampuni oleh Allah s.w.t dan dia mendapatkan syurga-Nya, dikatakan (kepadanya),” Masuklah ke syurga.” Dia (Habib an-Najjar) berkata,” Alangkah baiknya sekiranya kaumku mengetahui apa yang menyebabkan Tuhanku memberi keampunan kepadaku dan menjadikan aku termasuk orang-orang yang dimuliakan,” (Surah Yasin [36]: Ayat 26-27).

Ayat terakhir ini adalah pengakuan dari Habib an-Najjar setelah dia meninggal dunia, dan Allah memberitahu pada kita bagaimana bahagianya dia berada di sisi Allah, kerana pembelaanya terhadap para utusan Allah itu. Dia berharap, andainya dia mampu memberi khabar kepada kaumnya yang telah membunuhnya dan mendustakan ketiga rasul itu, tentang apa yang dia dapat dari keampunan dan kemuliaan di sisi Allah s.w.t.

Orang yang meninggal dunia dalam keadaan beriman kepada Allah dan membenarkan apa yang dibawa oleh para rasul-Nya, akan mendapat keampunan atas dosa-dosa mereka dan memperoleh darjat yang mulia di sisi Allah s.w.t. Seperti yang dialami oleh Habib an-Najjar.

Sumber: tahajjud.net

No comments:

Post a Comment